LATAR BELAKANG

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan satu-satunya Universiti Pendidikan yang terdapat di Malaysia yang mempunyai sejarah yang panjang dalam melahirkan bakat-bakat insan terbilang dalam bidang pendidikan bermula dari tahun 1922. Dalam mengekalkan status Universiti Pendidikan terulung di Malaysia, UPSI telah menjalankan pelbagai penyelidikan dan penawaran program-program pengajian yang kompetetif dan relevan dengan situasi semasa.

Kini, bidang rekreasi luar iaitu ecotourism dan edutourism  merupakan sebuah bidang yang semakin mendapat perhatian masyarakat Malaysia. Pada tahun 2018, negara telah menjana pendapatan sebanyak RM84.1 billion hasil daripada aktiviti pelancongan dan rekreasi. Memandangkan aktiviti ini semakin memberangsangkan, pendidikan formal yang lebih berstruktur perlu ditawarkan kepada masyarakat luar bagi menjanjikan pelaksanaan aktiviti pelancongan yang lebih selamat dan profesional.

Sehubungan itu, penubuhan AURORA ini bertepatan dengan Pelan Strategik (2018-2020) UPSI iaitu Teras 4-Kelestarian Jaringan Industri dan Komuniti serta Teras 5-Keutuhan Tadbir Urus yang akan mampu membantu universiti muncul sebagai Universiti Nombor 1 Pendidikan. Tambahan pula UPSI telah dikenali sebagai universiti yang mempunyai kemudahan fasiliti (UPSI Adventure Park) dan kepakaran rekreasi terbaik yang sering menjadi rujukan di Malaysia dan adalah amat wajar bagi UPSI untuk mengambil peluang ini.

Melalui penubuhan akademi ini, universiti akan menjadi rujukan kepada negara dan berfungsi untuk mengendalikan kursus-kursus jangka pendek yang bersifat teknikal dan profesional berkaitan bidang rekreasi. Pendapatan daripada penjanaan kursus-kursus ini akan dapat membantu universiti dalam bidang pengkomersialan dan pada masa akan datang akan menjadi sebuah pusat yang menjana sendiri pendapatan tanpa bantuan universiti.